(yBEX) 2019 Galak Belia Sabah Sertai Perniagaan

0

 

PUTATAN – Seramai 40 usahawan muda Sabah termasuk pengusaha trak makanan menyertai Karnival Ekspo Perniagaan Belia (yBEX) 2019 selama dua hari mulai hari ini di Kompleks Belia dan Sukan Persekutuan Sabah, dekat sini.

Menurut Pengarah Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan Sabah Effendi Razali, karnival itu dianjurkan oleh kementeriannya dengan kerjasama Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu, ia bertujuan menyemarakkan lagi pembangunan keusahawanan golongan muda sekali gus menggalakkan lebih ramai belia Sabah menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya.

Karnival itu juga bermatlamat untuk membuka peluang kepada usahawan mempamerkan produk dan idea inovasi terkini dalam bidang perniagaan, meluaskan rangkaian dan meningkatkan kapasiti pangkalan data usahawan muda yang komprehensif.

“Karnival yBEX ini bukan sahaja mengenal pasti usahawan Industri Kecil dan Sederhana yang baru tetapi juga mencari lebih ramai anak muda yang berminat berkecimpung dalam bidang keusahawanan kerana seminar keusahawanan dan khidmat nasihat berkaitan pemilikan lesen turut diadakan selain maklumat peluang pinjaman perniagaan daripada institusi kewangan berkaitan.

“Kami berharap karnival ini dapat mencetuskan lagi semangat keusahawanan dalam kalangan belia dan memastikan mereka mempunyai pemikiran bahawa perniagaan dan keusahawanan adalah satu bidang memberikan sumber pendapatan lumayan,” katanya ketika ditemui Bernama di karnival itu.

Kira-kira 5,000 pengunjung sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran dijangka memeriahkan karnival yBEX yang bermula daripada jam 9 pagi hingga 10 malam (Sabtu) dan 9 pagi hingga 4 petang (Ahad).

Sementara itu, seorang usahawan muda Mohd Juhar Harun, 28, berkata karnival yBEX memberikan peluang peluang untuk memperkenalkan produk penjagaan kulit berasaskan minyak kelapa dara yang diusahakan sejak 2017.

“Bidang keusahawanan adalah kerjaya saya, justeru, saya akan memastikan hasil jualan RM6,000 diperolehi setiap bulan ketika ini dapat ditingkatkan dan jenama produk saya mampu tembus ke pasaran lebih besar,” kata graduan bidang sejarah dari Universiti Malaysia Sabah itu.

Bagi Shana Hasbullah, 33, dia sering memanfaatkan karnival pembangunan keusahawanan di sekitar Kota Kinabalu untuk mempromosikan secara terus keistimewaan produk sambalnya.

Shana yang merupakan graduan bidang estetik daripada kolej swasta berkata karnival seumpama itu juga adalah platform untuk mendapatkan lebih banyak maklumat baharu mengenai program meningkatkan lagi potensi perniagaan kerana dia bercita-cita untuk membuka kilang produk makanan sendiri.- BERNAMA , 27 April, 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.