Bank Negara luluskan dana politik ke akaun Najib, kata pengurus bank

0

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyedari sepenuhnya dan memberi kelulusan terhadap transaksi keluar masuk dana politik berbilion ringgit dalam akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut saksi utama kes perbicaraan SRC International, R. Umma Devi, transaksi itu berlaku secara berperingkat antara 2011 dan 2013.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz merupakan Gabenor BNM ketika itu.

Zeti kini merupakan ahli penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Umma Devi merupakan pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, di mana Najib membuka beberapa akaun peribadi pada 13 Januari 2011 bagi tujuan menguruskan dana politik yang dianggarkan sebanyak RM2.751 bilion.

Pengurus bank itu memberitahu mahkamah bahawa BNM dimaklumkan menerusi Sistem Pemantauan Operasi Ringgit (ROMS) tentang kemasukan dana politik itu.

BNM dan Zeti juga mengetahui semua maklumat dana politik tersebut termasuk sumber wang itu.

Dana pertama yang masuk dalam akaun Najib adalah pada 2011 dengan jumlah AS$98 juta atau kira-kira RM310.66 juta berdasarkan kadar tukaran wang pada masa itu.

Pada 2012, dana kedua didepositkan ke akaun Najib dengan dana AS$98 juta atau RM298.9 juta mengikut kadar tukaran asing pada waktu itu.

Berdasarkan rekod bank, dana ketiga AS$680 juta atau anggaran RM2.142 bilion mengikut kadar tukaran asing pada masa itu, dimasukkan ke akaun Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Beberapa bulan kemudian selepas menang PRU13, Najib mengarahkan pihak bank untuk memulangkan semula wang berjumlah AS$620 juta ke akaun pihak yang memberikan wang tersebut.

Mengulas kesemua transaksi ini, Umma Devi, saksi ke-21 kes perbicaraan itu, memberi keterangan bahawa Najib memindahkan wang dana politik sebanyak RM162 juta ke akaun yang berakhir dengan nombor 880.

Kesemua akaun Najib yang digunakan untuk menerima dana itu sebelum ini ditutup pada 30 Ogos 2013.

Semasa pemeriksaan utama, pihak peguam bela mencadangkan kepada Umma Devi bahawa dana itu diterima daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi di Riyahd dan Putera Faizal Turki, anak lelaki Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Walaupun Umma Devi tidak menafikan perkara itu, beliau memberitahu mahkamah bahawa identiti pendeposit hanya boleh disahkan oleh jabatan penghantaran wang bank tersebut.

Najib berdepan enam pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan pecah amanah dengan menerima wang berjumlah RM42 juta ke akaunnya dari SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Beliau turut dituduh menyalahguna kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan ini diadili oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – NTHQiBord, 30 April 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.