Hishamuddin jawab isu lompat parti

0

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kesetiaannya untuk terus bersama parti walaupun ada khabar angin mengatakan beliau akan lompat parti.

Malah Ahli Parlimen Sembrong itu mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu terus menfitnah beliau akan melompat parti walaupun pada hakikatnya beliau masih bersama UMNO.

“Saya sudah ditanya mengenainya (lompat parti) banyak kali dan sekarang apa yang kita nampak adalah orang yang tak ditanya soalan itu yang sudah lompat, orang yang ditanya soalan itu hari-hari pula masih lagi setia memakai baju UMNO.

“Jadi, sekali lagi saya nak ulang, saya tidak akan ke mana-mana dan tetap akan bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Menurut Hishammuddin, beliau sering ditanya mengenai khabar angin dirinya akan melompat parti tetapi beliau masih lagi memakai baju UMNO, menghadiri mesyuarat perhubungan negeri, malah bersama-sama berkempen pada setiap pilihan raya kecil disertai parti.

Beliau berterima kasih kepada UMNO Johor kerana soalan seumpama itu tidak pernah datang daripada rakan-rakan seperjuangannya di negeri ini kerana mereka mengenali siapa Hishammuddin sebenarnya.

“Dalam politik apabila orang masih lagi memperkatakan mengenai diri saya, itu bermakna saya masih relevan, cerita baik atau buruk dalam politik adalah baik untuk seorang ahli politik sekali gus sesiapa pun boleh bercakap mengenai diri saya,” katanya. – 30 April 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.