Kerajaan batal bantuan sara hidup 46 nelayan

0

KUALA LUMPUR – Seramai 46 nelayan di Port Dickson dan Telok Kemang dibatalkan daripada senarai penerima sumbangan elaun bahan api dan sara hidup bagi Januari dan Februari lepas.

Jumlah itu adalah daripada 95 nelayan yang disiasat bagi pemutihan bahan api dan sara hidup untuk dua bulan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir, sebanyak 49 nelayan telah diluluskan semula untuk menerima kedua-dua manfaat tersebut selepas siasatan dijalankan.

Mengulas lanjut, Bakri berkata daripada 46 yang dibatalkan daripada senarai penerima sumbangan, empat daripadanya telah meninggal dunia manakala empat lagi tidak mengambil bantuan minyak selama lima hingga tujuh bulan.

“Bakinya adalah disebabkan tidak lagi turun ke laut,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Bagi tahun lepas, Bakri berkata seramai 26 orang nelayan telah diturunkan kategori manakala 101 nelayan dilucutkan daripada senarai penerima sumbangan di dua PNK berkenaan.

Bakri berkata, kriteria pemutihan penerima elaun sara hidup nelayan dibuat dengan menyemak sistem e-Diesel/e-Petrol dan siasatan dilakukan terhadap nelayan tidak membuat pembelian minyak bersubsidi selama tiga bulan berturut-turut atau jumlah pengambilan liter yang mencurigakan.

“Semakan juga dilakukan ke atas sistem e-Pengisytiharan (pendaratan ikan) terhadap nelayan yang tidak membuat pengisytiharan atau kurang daripada tiga kali sebulan.

“Pemantauan juga dilakukan secara rambang di setiap pangkalan nelayan dan melakukan siasatan terhadap aduan mengenai nelayan,” ulasnya. – 30 April 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.