Mufti Perlis kecewa umat Islam makin ditindas di bawah PH

0

KUALA LUMPUR – Rakyat semakin bingung dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang dilihat berat sebelah dan membiarkan umat Islam di negara ini dibuli sewenang-wenangnya, kata Mufti Perlis.

Menurut Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin perkara ini jelas terbukti apabila segelintir pemimpin yang cuba menimbulkan ketegangan kaum, namun mereka hanya perlu hadir ke balai polis untuk memberi keterangan.

Tambahnya terdapat ramai lagi yang menghina Nabi Muhamad SAW dan mempersendakan ajaran Islam juga hanya melalui proses sama.

Mohd Asri turut meluahkan kekecewaannya apabila rakannya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, Muhammad Zamri Vinoth ditahan serta direman kerana didakwa menghina agama Hindu.

“Tapi, ceramah dalam masjid untuk umat Islam sahaja di Kelantan oleh seorang individu yang menceritakan pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam (Muhammad Zamri) telah menyebabkan beliau ditangkap.

“Apakah fakta beliau (Muhammad Zamri) palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar menceritakan tentang kisah dirinya sendiri?

“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti mana kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan tragedi antara kuil dan pihak bomba (Subang Jaya).

“Tidak pula mereka ini ditangkap?

“Bagaimana pula dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?,” katanya dalam status Facebooknya semalam.

Baru-baru ini, Muhammad Zamri yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri didakwa membuat kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video tular di laman sosial. – NTHQiBord, 30 April 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.