Rebut Peluang, Kelebihan dan Keistimewaan Ramadhan

0

Sesungguhnya Allah SWT mengkhususkan bulan Ramadhan di antara bulan-bulan lainnya dengan keutamaan yang agung dan keistimewaan yang banyak. Melalui perkongsian Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin bersama IKIMfm, beliau berkongsi beberapa keistimewaan berkenaan bulan Ramadhan.

1-Bulan Ramadhan adalah bulan penghapus dosa. Dengan menyempurnakan ibadah berpuasa ini dapat menghapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada yang disedari atau tidak disedari asalkan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda : ‘’Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu”. (Muttafaqun alaih).

2-Dibukanya pintu-pintu syurga pada bulan Ramadhan. Hal ini kerana banyaknya amal soleh yang disyariatkan pada bulan tersebut yang menyebabkan masuknya seseorang ke dalam syurga ditutup pintu-pintu neraka pada bulan berkenaan. Misalnya, umat Islam pada bulan yang mulia ini dituntut untuk mengerjakan Solat Sunat Tarawih. Ia ditunaikan selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam.

3-Bulan Ramadan memiliki banyak keberkatan, keutamaan dan pelbagai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh bulan-bulan lainnya. Dalam bulan Ramadhan, setiap amal kebaikan diberikan ganjaran berlipat ganda. Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu.

4-Syaitan-syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan. Syaitan tidak mampu untuk menggoda (menyesatkan) manusia, menjerumuskan manusia dalam kemaksiatan sebagaimana yang syaitan lakukan selain dalam bulan Ramadhan.

5-Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Surah al-Qadr: ayat 1-5) – 30 April 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.