Terbatas berbelanja buat kos sara hidup terasa tinggi

0

MELAKA – Kemampuan isi rumah untuk berbelanja yang terbatas antara punca rakyat Malaysia merasakan kos sara hidup yang tinggi di negara ini, kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier), Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid.

Beliau berkata antara punca lain, tahap kemahiran yang dimiliki rakyat secara keseluruhannya agak rendah menyebabkan kadar pendapatan mereka kekal rendah walaupun paras pendapatan isi rumah di negara ini meningkat setiap tahun.

Zakariah berkata, walaupun paras pendapatan isi rumah rendah, ia dilihat meningkat apabila purata pendapatan bulanan rakyat di negara ini adalah pada RM5,228 pada tahun 2016 berbanding RM4,585 pada tahun 2014.

Beliau berkata, pada tahun 2016 purata pendapatan bulanan rakyat kumpulan B40 adalah pada RM2,848; kumpulan M40 (RM6,502) dan kumpulan T20 (RM16,088).

Selain itu katanya, kebergantungan pekerja asing tidak diurus secara optimum, selain kadar keberhutangan yang tinggi juga menjadi punca rakyat negara ini merasakan kos sara hidup semakin tinggi.

“Harga barang itu memang meningkat saban tahun, sepanjang pengalaman saya sendiri jaranglah ada harga barang turun malah tidak akan boleh dikawal. Tetapi kenaikkan harga barang itu masih stabil buat masa ini apa jadi masalah ialah pasaran buruh kita dengan gaji rendah dan kebergantungan pekerja asing.

“Kita sekarang menuju ke arah negara pendapatan tinggi, masalah kita sekarang bukan atasi masalah kemiskinan tetapi atasi masalah kos sara hidup. Jika tiada apa-apa dilakukan dikhuatiri pada jangka masa panjang trend pertumbuhan tidak stabil, kaya jadi semakin kaya yang miskin jadi semakin miskin,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Katanya, kawalan terhadap harga barang adalah sebuah mekanisma yang kurang efektif bagi mengawal kenaikkan kos sara hidup kerana harga barang dikawal oleh banyak faktor ketentuan terutama pengeluaran dan permintaan, selain faktor dari negara luar yang sukar dikawal oleh negara ini.

Beliau berkata, kawalan terhadap harga barang perlu dilihat daripada dua sudut yang berbeza iaitu sudut rakyat atau pengguna, dan sudut punca pendapatan mereka yang terlibat dalam penghasilan serta perniagaan barangan itu. – 30 April 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.