Tiada raja, ketua negara atasi undang-undang dalam Islam

0

KUALA LUMPUR – Islam tidak pernah meletakkan seseorang raja, perdana menteri mahupun presiden mengatasi undang-undang negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, dalam Islam jelas menegaskan bahawa ketua negara berada di bawah kuasa undang-undang walaupun seorang rasul dilantik secara langsung apatah lagi yang dilantik sesama manusia.

Sebagai contoh katanya, Nabi Muhammad SAW merupakan pemimpin yang dilantik Allah, tidak berlagak seperti tuhan yang disembah sehingga menjadikan rakyatnya hamba abdi dan harta negara seperti milik peribadi baginda.

Hadi turut memberi beberapa contoh dalam sejarah bagaimana Islam tidak meletakkan pemimpin pada darjat yang lebih mulia dan istimewa di sisi undang-undang.

“Banyak bukti sejarah Islam meletakkan ketua negaranya sama ada yang bergelar Raja, khalifah, imam atau amir tidak berkuasa mutlak dan berada di bawah kuasa undang-undang, menolak dengan tegas konsep adanya seseorang atau kumpulan yang mengatasi undang-undang negara.

“Maka muliakan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan, sepatutunya undang-undang yang ditulis wajiblah maha tinggi dan mengatasi Raja atau Perdana Menteri mahupun Presiden,” katanya menerusi kolum Minda Presiden PAS di Harakahdaily.

Penulisan Hadi itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perselisihan antara Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan pihak Istana Johor mengenai beberapa isu termasuk undang-undang antarabangsa serta hak persekutuan dan negeri.

Bagaimanapun Hadi tidak merujuk kepada mana-mana pihak dalam penulisannya itu.

Dalam pada itu, Hadi menerusi penulisannya, menegaskan kedudukan pemimpin dan ketua negara adalah tertakluk pada ketetapan Islam, dan menolak hujah kedaulatan undang-undang dari sisi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama.

Katanya, semua perbahasan mengenai kedaulatan undang-undang di sisi perlembagaan itu sebagai ‘cakap kosong, kalau tidak beriman dan budiman’.

“Saya penganut Islam yang beriman, oleh yang demikian menafsirkan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jiwa merdeka,” katanya.

Menurut Hadi, Islam mengutamakan konsep keadilan dan menentang kezaliman, serta mempunyai konsep beriman kepada Allah yang mengatasi segala-galanya.

“Semua yang memerintah walau apa nama dan gelarannya akan dipanggil mengadap Allah,” katanya. – 30 April, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.