Upacara turun takhta Maharaja Akihito bermula

0

TOKYO – Maharaja Akihito dilaporkan mengunjungi kuil Shinto di Istana Imperial, sebentar tadi, bagi menghadiri upacara keagamaan sempena majlis turun takhta pemerintahannya, sebagai Maharaja Jepun selama tiga dekad.

Akihito, 85, adalah anggota monarki Jepun yang pertama melepaskan takhta diraja dalam tempoh dua abad.

Isterinya, Maharani Michiko adalah rakyat biasa pertama yang mengahwini putera mahkota dan pasangan itu sudah berkahwin selama 60 tahun.

Pasangan itu terkenal sebagai simbol kedamaian, keamanan dan demokrasi.

“Saya rasa maharaja (Akihito) amat disayangi oleh rakyat. Kehadiran beliau ketika bencana amat menyentuh hati rakyat, selain dilihat amat rapat dengan rakyat.

“Saya harap maharaja selepas ini, seperti maharaja era Heisei juga melakukan perkara yang sama,” kata Morio Miyamoto, 48, ketika ditemui di sebuah stesen kereta api di barat Tokyo.

Pada 2016, Akihito ketika menyampaikan ucapan secara langsung menerusi televisyen, menyatakan kebimbangannya mengenai faktor usia akan menyukarkan beliau untuk menunaikan tugasnya sebagai maharaja.

Akihito pernah menjalani rawatan bagi merawat kanser prostat, selain menjalani rawatan jantung.

Sementara itu, BBC melaporkan, majlis Taiirei-Seiden-nogi atau turun takhta Maharaja Akihito akan berlangsung di bilik Matsu-no-Ma di Istana Imperial pada jam 5 petang (waktu tempatan), hari ini.

Menurut stesen penyiaran NHK, majlis yang berlangsung secara tertutup itu akan berlangsung kira-kira 10 minit dan dihadiri kira-kira 330 tetamu.

Majlis itu akan berakhir selepas Akihito menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai maharaja, walaupun secara teknikalnya, beliau akan memegang takhta diraja sehingga tengah malam hari ini.

Esok, anak lelaki sulongnya, Putera Mahkota Naruhito akan mewarisi takhta diraja Jepun, sebagai maharaja baharu. – Reuters/Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.