Zakat fitrah di Sabah kekal RM7 tahun

0

KUALA LUMPUR – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar zakat fitrah bagi negeri ini pada tahun ini adalah sebanyak RM7, kekal seperti tahun lepas.

Yang Dipertua MUIS Datuk Dr Hasbullah Mohd Taha berkata kadar zakat fitrah itu adalah bersamaan dengan 2.7 kilogram beras.

Beliau berkata MUIS telah melantik seramai 39 ketua amil dan 2,019 wakil amil di seluruh negeri pada tahun ini untuk membuat kutipan zakat sepanjang Ramadhan.

“Kesemua wakil amil akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam daripada membayar zakat kepada individu tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah,” katanya pada majlis pengisytiharan kadar zakat fitrah itu di sini hari ini.

Hasbullah berkata sepanjang Ramadhan tahun ini, MUIS memperuntukkan sebanyak RM8.2 juta untuk diagihkan kepada 40,359 golongan asnaf dan RM1.2 juta kepada 2,019 wakil amil sebagai upah bertugas mengutip dan mengagihkan zakat fitrah.

Dalam pada itu, Hasbullah berkata, jumlah zakat keseluruhan dikutip pada tahun lepas ialah sebanyak RM79 juta, dan daripada jumlah itu, zakat harta merekodkan jumlah tertinggi sebanyak RM70 juta manakala zakat fitrah pula menyumbang RM9 juta.

MUIS telah mengagihkan zakat dan fitrah sebanyak RM68 juta kepada 88,117 golongan asnaf pada tahun lalu, katanya. – UTUSAN , 30 April 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.