DOHA – Militan Taliban dan Amerika Syarikat (AS) memulakan pusingan baharu rundingan damai di Qatar hari bagi mencari kata sepakat untuk menamatkan perang paling lama melibatkan tentera dari Barat itu di Afghanistan.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid berkata pusingan keenam rundingan antara kumpulan itu dengan AS akan bermula di Doha hari ini.

Kedutaan AS bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu, namun sebelum ini Jabatan Negara AS berkata wakilnya, Zalmay Khalilzad akan ke Doha pada bulan ini untuk bertemu dengan Taliban.

Lima pusingan sebelum ini berlangsung antara Februari dan Mac tetapi gagal mencapai kata sepakat.

Dalam rundingan sebelum ini, kedua-dua pihak bersetuju dengan rangka kerja yang melibatkan pengunduran tentera AS dari Afghanistan dan tuntutan terhadap komitmen Taliban agar memastikan wilayah negara itu tidak digunakan oleh pengganas antarabangsa.

Ketika ini, sebanyak 14,000 tentera AS berada di Afghanistan.

Taliban menyifatkan kerajaan Afghanistan sebagai rejim boneka kerana tidak menyertai sebarang rundingan dengan kumpulan militan itu.

Ini bermakna walaupun AS dan Taliban bersetuju menamatkan perang yang berlarutan selama 17 tahun itu, kumpulan pemberontak masih perlu mematuhi sebarang arahan daripada ahli politik Afghanistan dan ketua puak sebelum gencatan senjata dilakukan. – 1 Mei, 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.