KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan veteran tentera meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kepada pesara tentera tidak berpencen.

Menurut Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang, jumlah bantuan itu dikurangkan kepada RM500 setahun di bawah program baru yang diberi nama Bantuan Harapan Negara (BHN) menggantikan BBN.

Malah Pengerusinya, Mohd Sani Ishak memaklumkan bahawa bantuan itu juga diberikan secara bersyarat dan tidak semua pesara tidak berpencen layak menerimanya.

“Bantuan di bawah BBN RM1,200 yang kami dapat dulu sudah tidak ada, sekarang ini kerajaan sudah tukar nama, tiada lagi BBN, tukar kepada BHN dengan bayaran RM500 one-off, tapi ia hanya dimaklumkan tapi belum dapat lagi kita juga sedang tunggu,” ujarnya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today.

Mohd Sani turut mengatakan bahawa antara syarat yang diletakkan untuk menerima BHN ialah mereka yang sebelum ini mempunyai pingat perkhidmatan.

Tambahnya lagi, pihaknya bukan tidak bersyukur diberi bantuan RM500 tetapi jumlah itu tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup sekarang semakin meningkat.

“Kita perjuang demi negara pertahankan negara, kami kecewa, sebelum ini kami dapat RM1,200 sepatutnya dinaikkan kepada RM2,500 sepertimana cadangan sebelum ini, bukan dikurangkan kepada RM500.

“Ia tidak cukup memandangkan kos sara hidup meningkat, kami tidak ada bantuan lain dari kerajaan. Dulu dapat juga BR1M boleh tambah-tambah pendapatan kami,” katanya. – 1 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.