Maharaja baru Jepun ikrar jadi simbol perpaduan

0

TOKYO – Maharaja baru Jepun, Naruhito berikrar untuk memainkan peranannya sebagai ‘simbol negara dan perpaduan’ selepas beliau mewarisi pemerintahan diraja daripada bapanya, Akihito secara rasmi hari ini.

Maharaja berusia 59 tahun itu menyampaikan ucapan pertamanya selepas menyempurnakan majlis pertabalan di Istana Diraja.

Beliau mewarisi bapanya, Akihito, 85, yang turun takhta disebabkan faktor umur dan masalah kesihatan.

Akihito merupakan maharaja pertama Jepun yang melepaskan takhta sejak sistem beraja digunakan di negara itu lebih 200 tahun.

Beliau yang dikenali sebagai Maharaja Emeritus, sangat disenangi rakyat Jepun kerana baktinya dalam membantu penduduk negara itu menghadapi bencana dan kesusahan.

Anaknya, Maharaja Naruhito turut memberi penghormatan kepada bapanya dan berikrar untuk menunjukkan sikap yang sama kepada rakyat Jepun.

“[Akihito] mempamerkan rasa belas kasihan menerusi caranya yang tersendiri.

“Saya berjanji akan mengikut jejak langkah Maharaja Emeritus dan memenuhi tanggungjawab saya sebagai simbol negara dan perpaduan rakyat Jepun,” katanya seperti dilaporkan BBC.

Sementara itu, Akihito menyatakan beliau telah meluangkan selama 30 tahun pemerintahannya melakukan tugas-tugas dengan ‘penuh hormat dan kasih kepada rakyat’.

Menurutnya, dia menawarkan rasa terima kasih mendalam kepada rakyat Jepun yang menerima dan menyokongnya sebagai simbol negara.

“Ia telah menjadi kerahmatan yang besar,” katanya ketika berucap ringkas pada majlis pertabalan anaknya. – 1 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.