KUALA LUMPUR – Jawatankuasa 1 Mei menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan segera gaji minimum RM1,500 seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU).

Koordinator jawatankuasa itu yang menggabungkan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), Nalani Murugiah berkata rakyat Malaysia tidak menerima gaji setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka dan peningkatan taraf ekonomi.

“Sesuai dengan tema himpunan, Tinggikan Gaji, Hentikan Deskriminasi, pihak kami menyuarakan kepada kerajaan untuk segera menaikkan gaji minimum yang sebelum ini hanya RM1,100 kepada RM1,800 kepada para pekerja di negara ini.

“Selain daripada itu, tema tahun ini juga menuntut segala bentuk diskriminasi terhadap pekerja berasaskan gender, kaum dan agama yang sememangnya berterusan harus dihentikan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Menurut Nalani, sambutan tahun ini adalah merupakan sambutan hari pekerja kali ke-25 yang telah diadakan oleh jawatankuasa tersebut sejak daripada tahun 1994.

Peserta himpunan aman itu berarak dari Maju Junction pada pukul 10.30 pagi menuju ke Medan Pasar.

Sebelum ini, anggota jawatankuasa itu S Arutchelvan menyuarakan cadangan agar menetapkan siling terhadap gaji yang dinikmati ketua pegawai eksekutif (CEO) di Malaysia.

Katanya kepada sebuah portal berita baru-baru ini, CEO di Malaysia menikmati gaji yang “terlalu tinggi” sehingga menyebabkan jurang pendapatan yang terlalu lebar dengan pekerja biasa. – 1 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.