Timbalan Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina kini sudah menyesal kerana memberi sokongan terhadap Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana dilihat tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat khususnya masyarakat itu sendiri, kata MCA.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, orang Cina sudah bosan dengan pentadbiran DAP yang cuba menutup kesalahan sendiri apabila tidak menunaikan manifesto mereka pada PRU14 lalu, sebaliknya hanya menuding jari kepada kerajaan lama.

“Ramai yang mengatakan banyak undi Cina lebih memihak kepada DAP. Sebenarnya ramai orang Cina sudah menyesal mengundi Pakatan Harapan, DAP.

“Kerana bagi orang Cina yang paling penting bagi mereka bukanlah politik tetapi adalah ekonomi.

“Ekonomi sekarang teruk, pentadbiran pengurusan jelas menunjukkan bahawa PH belum bersedia dan tidak mempunyai pendirian dalam membuat keputusan yang baik untuk kebaikan ekonomi negara,” katanya ketika sesi wawancara bertajuk ‘Ikhlaskah MCA Terima PAS?’ bersama Nothing To Hide Media.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kegagalan MCA meraih sokongan orang Cina pada PRU lalu.

Pada PRU14, MCA hanya meraih tiga kerusi iaitu satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN, sekali gus menjadi pencapaian terburuk dalam sejarah parti komponen Barisan Nasional itu.

Dalam pada itu, Lian Ker berkata, pentadbiran PH juga bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi negara malah turut mengheret sama mengancam perpaduan negara.

“Kita bukan seperti mereka yang terlalu liberal semua boleh tetapi akhirnya semua tidak dilakukan untuk mentadbir kerajaan.

“Mereka ini tidak ikhlas, sehingga mengekspoitasikan beberapa isu antaranya isu-isu perkauman, pendidikan kebudayaan dan keagamaan,” ujarnya. – NTHQiBoard, 1 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.