KUALA LUMPUR: PAS mengambil sikap menunggu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan tentang dakwaan PAS menerima wang daripada UMNO.

PAS bersikap terbuka dan mengalu-alukan pendedahan yang ingin dibuat oleh Anwar Ibrahim terhadap parti itu.

Namun, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS tidak boleh menjawab selagi Anwar tidak dedahkan kelemahan itu.

Katanya, biar Anwar dedah dahulu barulah PAS boleh jawab kerana parti itu bersikap terbuka.

“Sila, biar dia (Anwar) dedah dululah, baru boleh jawab. Dia tak dedah kita tak boleh nak jawab.

“Kita bersedia, memang kita nak tahu apa kita punya kelemahan, kita terbuka,” tegasnya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Meraikan Rombongan Kerajaan Kelantan Ke Negeri Terengganu di Duyong Convention Marina & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Presiden PKR itu yang mahu mendedahkan rahsia pembohongan PAS kepada umum, ketika bercakap di Kelantan, beberapa hari lalu.

Ketika ditanya mengenai setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, rakyat sendiri boleh menilai bagaimana manifesto yang diwar-warkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

Bahkan, katanya rakyat juga boleh menilai berapa peratus yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan itu.

“Saya rasa mereka sendiri tak sangka, mereka mampu laksanakan itu. Itu terpulang kepada mereka.

“Kita laksanakan apa yang kita janji. Kita tak bertanggungjawab apa yang mereka janji,” jelasnya seperti dilaporkan dalam Harakahdaily . – 1 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.