Polis New Zealand temui peluru, bahan letupan

0

WELLINGTON – Polis New Zealand menahan seorang lelaki berusia 33 tahun selepas menemukan peluru dan bungkusan mengandungi bahan letupan di sebuah premis kosong di Christchurch petang ini.

Penahanan tersebut dan penemuan bahan letupan menggemparkan penduduk setempat yang masih terkesan dengan serangan pengganas kulit putih terhadap dua buah masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 orang pada bulan lalu.

Lapor al-Jazeera, polis bertindak mengepung jalan raya di kawasan Philipstown di bandar South Island, di mana bom serta peluru itu dijumpai.

Menurut kenyataan polis, pasukan pemusnah bom, ambulans dan anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian.

Sementara itu, New Zealand Herald melaporkan polis bergegas ke tempat kejadian susulan ‘ancaman berhubung bahan letupan’.

“Seorang lelaki berusia 33 tahun telah ditahan dan suspek disoal siasat berkaitan insiden itu,” menurut kenyataan tersebut.

Beberapa kediaman berdekatan dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

Tambah kenyataan itu, zon larangan terbang turut dikuatkuasakan di sekitar kawasan penemuan bom dan peluru tersebut.

“Saya melihat ramai polis di lokasi kejadian. Kenderaan bomba turut diletakkan di situ tetapi apa saya tahu sesuatu sedang berlaku,” kata seorang penduduk tempatan.

Jurucakap St. John Ambulans memaklumkan, agensi tersebut berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di lokasi penemuan bahan letupan itu. AGENSI – 1 MEI 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.