KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Equanimity tidak lagi berlabuh di jeti Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superitendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata kapal itu telah belayar dari pangkalan itu pada Ahad lepas menuju ke Singapura.

“Pada Ahad lepas, kapal Equanimity telah belayar keluar dari jeti pangkalan tersebut menuju ke Singapura pada 2 petang (Ahad).

“Pergerakan kapal Equanimity tidak diiringi Pasukan Polis Marin disebabkan kapal tersebut telah dimiliki sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad dan bukan lagi aset kerajaan Malaysia yang diletakkan di bawah kawalan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kapal layar mewah itu berlabuh di pangkalan di Langkawi itu sejak 14 November lepas bagi tujuan simpanan sementara sebelum dijual melalui proses bidaan.

Pada 3 April lalu, Peguam Negara Tommy Thomas mengesahkan kapal mewah itu dijual kepada Genting Malaysia Bhd pada harga US$126 juta (RM521.18 juta) setelah mendapat kelulusan Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur.

Katanya harga jualan US$126 juta itu akan dibayar oleh Genting dan akan diterima mahkamah pada hujung bulan April.

Pada 19 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah itu sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan boleh menjual kapal itu.

Kapal mewah itu yang asalnya dimiliki ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low telah disita di Bali Indonesia tahun lepas sebelum kerajaan negara itu menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia. – 1 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.