KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan penahanan seorang ahli Parlimen UMNO di Sabah dan isterinya berhubung kes rasuah.

Menurut laporan portal mStar, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Ezette ditahan SPRM pagi ini untuk memberi keterangan selepas dipercayai terbabit dalam kes rasuah melibatkan nilai kira-kira RM3 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi portal tersebut mengesahkan penahanan pasangan suami isteri itu.

“Ya, mereka ditahan untuk membantu siasatan kes rasuah,” katanya.

Terdahulu beberapa media tempatan melaporkan SPRM menahan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan pasangannya sebelum mereka dibebaskan selepas lebih kurang lapan jam kenyataan mereka direkodkan.

“Mereka dijangka didakwa dalam masa terdekat,” kata sumber kes itu seperti dilaporkan media.

Sumber lain berkata, pasangan itu dijangka didakwa mengikut Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

“Ahli Parlimen itu akan menghadapi tiga kes rasuah, sementara isterinya akan menghadapi tuduhan bersubahat,” kata sumber tersebut. – 1 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.