KUALA LUMPUR – DAP merupakan parti yang agresif dalam menundukkan rakan sekutu mereka.

Perkara ini dilihat secara jelas selepas Pilihan Raya Umum lepas, sehinggakan parti komponen dalam Pakatan Harapan diibaratkan seperti lembu yang dicucuk hidung oleh DAP.

Ahli veteran PAS, Datuk Seri Mustafa Ali dalam sesi wawancara bertajuk ‘Apa kelebihan kerajaan Pakatan’ bersama Nothing To Hide, malam semalam berkongsi pengalaman PAS bersama parti berasaskan komunis itu.

Menurut beliau, PAS sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan kerjasama dengan DAP termasuklah pada 1999 selepas insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan daripada kerajaan akibat kes liwat.

Sejurus daripada itu, gabungan parti pembangkang ketika itu telah memutuskan untuk menjalinkan kerjasama tidak rasmi yang dinamakan sebagai Barisan Alternatif (BA).

Antaranya PAS, DAP, PKR dan Parti Rakyat Malaysia yang bertujuan mengurangkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional.

“Pilihan Raya 1999, PAS telah memperoleh kemenangan yang agak besar. Namun berlaku sebaliknya pada DAP yang tidak mendapat kemenangan yang banyak.

“Jadi di sini mereka mula merasakan tidak puas hati dengan PAS.

“Beberapa tahun selepas itu, saya telah dihubungi oleh beberapa kepimpinan tertinggi DAP yang mahukan pertemuan dengan kepimpinan PAS,” katanya yang merupakan bekas Setiausaha Agung PAS.

Menurut beliau, melalui perbincangan itu DAP dilihat bertegas untuk mengetahui prinsip PAS. Sama ada PAS masih mahu kekal memperjuangkan Islam sebagai Ad-deen atau tidak.

Namun, kepimpinan parti ketika itu secara jelas menerangkan bahawa tidak akan sesekali meninggalkan asas perjuangan parti yang menjadi matlamat kepada parti sejak sekian lama.

“Selepas beberapa jam atau hari berikutnya, saya tidak berapa ingat. Mereka telah membuat pengumuman untuk keluar dari BA.

“Ertinya keluarnya DAP daripada BA ini adalah kerana tidak bersetuju dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS.

“Bagi PAS kita bukan mahu dia bersetuju atau tidak, tetapi dia perlu menghormati,” tegasnya.

Tambah Mustafa, beliau juga pernah mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir Mohamad untuk memberi nasihat kepada Parti Pribumi Bersatu supaya tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Bagaimanapun katanya, ianya tidak dihiraukan oleh kepimpinan pasti tersebut. – NTHQiBord, 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.