JAKARTA –  Badan Pemenangan Nasional (BPN) menafikan dakwaan bahawa gabungan parti menyokong Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno kini retak berikutan laporan Parti Amanat Nasional (PAN) akan belot dan menyokong kubu Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’ruf Amin.

Ini selepas Jokowi mencatat jumlah undian tertinggi dalam kiraan hitung cepat pilihan raya Presiden (pilpres) 2019.

Detik News melaporkan, isu tersebut mula dibangkitkan oleh Naib Ketua Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi-Ma’ruf, Johnny G Plate yang mendakwa Ketua Umum PAN, Zulkifli Hasan cuba melobi Jokowi bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Indonesia (MPR).

“TKN percaya gabungan parti calon Presiden nombor dua itu retak dan keadaan ini menyebabkan sesetengah pihak cuba menyelamatkan diri dengan melobi Jokowi yang dijangka sekali lagi mempertahankan jawatan Presi­den.

“Selain itu, peratus kiraan undi awal menyaksikan gandingan Prabowo dan Subianto semakin jauh ketinggalan berbanding peratusan undi Jokowi-Ma’ruf,” kata Johnny.

Selain itu, Johnny mendakwa, semangat Prabowo dan Sandiaga tidak sama seperti sebelum pemilihan umum (Pemilu), selain parti-parti pakatan juga semakin hilang taring.

Jelasnya, Jokowi juga dijangka merujuk pakatannya iaitu Koalisi Indonesia Kerja (KIK) yang bakal menjadi majoriti dalam Parlimen berhubung isu itu.

Sementara itu, Sandiaga enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menegaskan kubu BPN tetap utuh dan me­laksanakan program seperti yang dirancang. – AGENSI, 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.