TAHUN ini, pertama kali para pekerja sambut harinya dengan kerajaan baharu, yang belum cukup genap setahun.

Walaupun sambut dengan kerajaan baharu tetapi yang jadi ketuanya orang lama. Perdana Menteri yang paling lama jadi PM ketika era kerajaan lama, Tun Mahathir, dari tahun 1981 hingga 2003

Hampir semua generasi lama kenal Tun. Mereka tahu baik dan buruk selama 22 tahun Tun jadi PM. Generasi muda mungkin kena tanya orang lama kalau nak kenal Tun.

Bagi saya, tahun ini amat mencabar bagi golongan pekerja. Asbabnya sejak bertukar kerajaan baharu suasana ekonomi makin tidak memihak kepada golongan pekerja.

Yang mula-mula terima kesan kerana tertukar kerajaan pusat ialah kakitangan awam berstatus kontrak.

Mereka mungkin sebahagiannya mengundi kerajaan baharu. Bak kata orang dulu-dulu, menang sorak kampung tergadai. Kontrak kerja tidak disambung bermakna hilang mata pencarian.

Yang kerja sektor swasta turut berasa tempiasnya. Banyak syarikat terpaksa kurangkan pekerja atau terus tutup operasi. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad salah satunya.

Hingga hari ini kerajaan baharu masih terkial-kial untuk pulihkan ekonomi. Jalan paling mudah salahkan kerajaan terdahulu. Padahal ramai yang tahu tentang kelemahan dan kesilapan kerajaan terdahulu. Tidak perlu ulang banyak kali.

Sebelum ini pun banyak kisah yang baca dan dengar di media sebahagian rakyat yang terpaksa membuat dua tiga kerja untuk menampung keluarga. Kalau harap kepada pendapatan yang ada, alamatnya ada yang tidak berasap dapur. Habis waktu kerja, sambung pula kerja sambilan pada malamnya. Itu tak termasuk kerja sambilan pada Sabtu dan Ahad.

Tiba-tiba PM kerajaan baharu kata rakyat memilih kerja hingga sebabkan pekerja asing ambil alih. Beliau kata rakyat tempatan tidak mahu buat kerja yang bahaya, susah dan kotor. Maka berlambaklah orang asing yang kerja di sini, dari kerja kutip sampah sampailah kepada tahap CEO.

Mula-mula salahkan kerajaan lama, sekarang rakyat pula yang salah. Lepas ini tak tahu siapa pula yang mahu disalahkan.

Masa zaman Tun jadi PM kali pertama dulu, Tun kata ramai menganggur sebab tak pandai Bahasa Inggeris, maka dibuatlah PPSMI.

Tetapi, beberapa lama lepas laksana PPSMI masalah pengangguran tak selesai juga. Alasan itu hanya untuk tutup kelemahan pemerintah yang gagal wujudkan peluang pekerjaan.

Akhirnya yang tetap salah dan terus salah ialah rakyat. Yang di atas terus senang dan kaya raya. Projek masuk kiri dan kanan, tatkala rakyat terus bergelut untuk terus hidup.

Barang diingat, zaman Pak Lah jadi PM, kakitangan kerajaan dapat perhatian yang sewajarnya. Tangga gaji mereka dikaji semula dan diselaraskan dengan kos hidup semasa. Mungkin beliau tidak tinggalkan apa-apa monumen untuk tatapan rakyat, tetapi saya ingat jasanya yang satu itu. Satu, tetapi besar maknanya bagi golongan rakyat dan pekerja.

Generasi muda hari ini juga tidak sempat dengan hari bekerja lima setengah hari seminggu. Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz memulakan cuti penuh dua hari seminggu iaitu Jumaat dan Sabtu atau Sabtu dan Ahad. Di samping cuti bersalin dua bulan bergaji penuh. Dua dasar ini amat besar bagi golongan rakyat dan pekerja.

Selamat Hari Pekerja dan selamat berjuang – NTHQIBORD, 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.