KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan disaran supaya membina sebuah Pengkalan Laut Hadapan di Laut Cina Selatan, demi memastikan keselamatan pelantar minyak, nelayan dan sebagainya.

Demikian saranan Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

“Ancaman keselamatan ke atas perairan Malaysia di Laut Cina Selatan yang semakin bertambah saban hari telah menjadikan sebuah Pengkalan Laut Hadapan suatu keperluan bagi tujuan memperkukuhkan kehadiran penguatkuasa dan mempercepatkan tindakan. Hal ini ditambah lagi dengan pencerobohan besar-besaran oleh warga asing dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif negara seperti yang dibuktikan dengan tangkapan enam bot nelayan Vietnam dengan 64 tekong dan awak-awak oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui KM PEKAN minggu lalu.”

“Sehari sebelum Hari Pekerja 1 Mei, KM PEKAN yang sekali lagi telah dapat menahan enam buah bot vietnam di kedudukan 150 Timur Laut Kuala Terengganu. Seramai 37 orang tekong dan awak-awak ditahan.

“Syabas dan syukur atas kejayaan KM PEKAN ini.” tulisnya dalam status facebook beliau.

Menurut Amzad kejadian ini menunjukkan bahawa peri pentingnya kewujudan Pengkalan Hadapan. Tambahan pula keselamatan pekerja pelantar minyak Malaysia berisiko ekoran kecenderungan nelayan asing ini menangkap ikan berhampiran pelantar minyak.

Malah menurut beliau, kejadian rampasan kapal tangki Orkim Harmony yang hilang dalam perairan negara pada 2015 dan dijumpai di perairan Kemboja, 210 batu Nautika daripada Pulau Redang wajar diambil iktibar.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan persekutuan bekerjasama dengan petronas dan syarikat pengeluar minyak lain bagi membina Pengkalan Hadapan Laut dan dapat digunasama oleh agensi seperti APMM dan TLDM.

“Model pembinaan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Timur Sabah oleh Petronas boleh digunakan untuk pembinaan Pengkalan Laut Cina Selatan.” Tulis beliau lagi.

Mengikut Laporan Unjuran Aktiviti Petronas 2019-2021, Petronas akan menyahtaraan atau “decomissioning” beberapa pelantar minyak milik mereka. Adalah lebih baik jika Petronas dapat mengenalpasti pelantar yang sesuai dan mengubahsuai menjadi Pengkalan Hadapan Laut untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Malaysia. – 2 Mei 2019

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.