KUALA LUMPUR – Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) perlu elak melemparkan kritikan sesama sendiri secara untuk menghindarkan salah faham dalam kalangan rakyat, kata veteran PAS, Datuk Seri Mustafa Ali.

Mustafa berkata, tidak salah untuk memberi teguran namun perlu menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan isi hati mereka.

“Menteri Kabinet tertakluk kepada etika collective responsibility yang bermaksud tanggungjawab bersama.

“Memang masing-masing mempunyai portfolio yang berbeza, tidak dapat dinafikan mereka ada kelemahan dihadapi.

“Tetapi tidak boleh jika seorang menteri secara terbuka mengkritik menteri lain.

“Maksud saya di sini, bukan tidak boleh ditegur tetapi ada tempatnya iaitu dalam Kabinet. Mesyuarat Kabinet seminggu sekali, boleh berbincang pada waktu itu.

Tambah beliau, Kabinet perlu menunjukkan kesepakatan dalam pentadbiran kerana jika tidak rakyat akan muak dengan sikap menteri yang dilihat cuba menjatuhkan satu sama lain.

Percakaran sebegini perlu dielakkan untuk memastikan barisan jemaah menteri terus melaksanakan tugasan mereka dengan lebih baik.

“Apabila prinsip collective responsibility ini ditinggalkan, maka inilah masalah yang timbul. Sepatutnya mereka patut kembali dan sedar akan perkara ini. Barulah nampak Kabinet ini seiring sekata dan tidak timbul percanggahan antara satu sama lain.

“Perdana Menteri pun senang hendak buat kerja tengok tidak ada percakaran dalam Kabinet.” katanya ketika menjawab soalan dari moderator dalam sesi wawancara bertajuk ‘Apa kelebihan kerajaan Pakatan’ bersama Nothing To Hide, semalam.

Pandangan Mustafa itu dipercayai merujuk kepada pertelingkahan melibatkan beberapa menteri Kabinet kerajaan yang secara terbuka membuat kritikan.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh menempelak tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahukan P Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata arahan sedemikian hanya layak dilakukan oleh Perdana Menteri, dan bukan daripada individu seperti seorang menteri. – NTHQibord, 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.