KUALA LUMPUR – Perbicaraan 25 pertuduhan yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan bermula pada 19 Ogos depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar usul pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan tersebut yang sepatutnya bermula pada 14 Mei ini.

Perbicaraan kes 1MDB itu akan berjalan sehingga 15 November.

Sebelum menetapkan tarikh baharu itu, Hakim Sequerah mengingatkan pendakwaan dan pembelaan supaya tidak lagi menangguhkan kes itu kerana ini merupakan kali kedua kes 1MDB ditangguhkan.

“Ini kali kedua anda memohon kepada saya tarikh baharu. Anda perlu ingat, 1MDB juga adalah kes berkepentingan awam. Saya juga ada kes lain seperti bunuh dan dadah. Sekarang anda pohon bagi kali kedua untuk penangguhan kes 1MDB.

“Jadi, saya tetapkan keseluruhan bulan September dan Oktober selain dua minggu pertama November. Saya tidak mahu ada lagi permohonan selepas ini bagi penangguhan perbicaraan kes 1MDB,” kata Hakim Sequerah menurut laporan Bernama.

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. – 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.