Pertumbuhan dagangan Malaysia dijangka pulih

0

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan perdagangan Malaysia dijangka pulih sepenuhnya pada Mac, dengan pertumbuhan eksport dan import, masing-masing meningkat semula kepada 2.5 dan 2.9 peratus selepas merosot pada bulan sebelumnya.

Aktiviti perdagangan lemah pada Februari berikutan perayaan Tahun Baru Cina, selain bulan yang singkat, lapor Bernama memetik agensi penarafan RAM Ratings.

“Sehubungan itu, kadar pengembangan dijangka terus mendatar dengan pertumbuhan aktiviti industri lebih rendah dalam pasaran serantau utama, selain pendekatan berhati-hati oleh perniagaan sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai hala tuju pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Lebihan dagangan Malaysia secara keseluruhan dijangka sebanyak RM14.8 bilion pada Mac,” katanya.

RAM Ratings berkata AS dan China telah mengadakan rundingan perdagangan sejak awal tahun ini, mencari penyelesaian kepada perang perdagangan yang berlarutan antara mereka.

“Butiran terhad pada masa ini, tetapi perjanjian pasti akan melibatkan komitmen China untuk meningkatkan pembelian barangan dari AS untuk mengurangkan lebihan dagangannya dengan AS.

“Ini mungkin membawa kepada satu lagi pusingan gangguan dalam aliran perdagangan berikutan permintaan China terhadap barangan daripada pembekal serantau yang sedia ada dialihkan kepada pengeluar AS.

“Rundingan awal pada Januari telah membawa kepada China untuk bersetuju meningkatkan import barangan pertanian, tenaga serta perindustrian dan pembuatan dari Amerika Syarikat,” katanya.

Ketua Penyelidikan RAM Kristina Fong berkata berdasarkan andaian awal RAM tentang bagaimana potensi perjanjian ini dapat dihasilkan, impak paling ketara ke atas Malaysia ialah pengalihan permintaan China terhadap barangan elektrik dan elektronik ke AS.

“Ini terutamanya bagi litar bersepadu elektronik, yang menyumbang 27.3 peratus daripada eksport Malaysia ke China dan 5.1 peratus daripada jumlah eksport kita,” katanya. – 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.