KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menerima ugutan daripada seorang pemilik akaun Facebook untuk mencederakannya, semalam, menyebabkan beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ketua polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, Mohd. Asri menerima kiriman mesej ugutan itu melalui Facebook ketika berada di rumahnya di Padang Besar, Perlis, kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata, menerusi kiriman mesej itu, pemilik akaun bernama ‘Sandev Sandev’ mengugut untuk menumbuk Mohd. Asri sehingga cedera.

“Pemilik akaun itu turut menyertakan satu nombor telefon dan meminta Mohd. Asri supaya menghubunginya sebelum dia datang mencari.

“Berikutan itu, pengadu telah membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Utusan Online.

Ugutan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Mohd. Asri sebelum ini yang mempersoalkan penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu kerana didakwa telah menghina agama Hindu.

Menurut Mohd. Asri penahanan itu adalah tidak wajar kerana Muhammad Zamri yang juga seorang pendakwah, hanya berkongsi pengalaman hidupnya di hadapan umat Islam di sebuah masjid secara tertutup, baru-baru ini.

Mohd. Asri sebaliknya melahirkan rasa hairan dan kesal apabila tindakan seorang individu yang mengugut beliau dan Muhammad Zamri menerusi satu rakaman klip video tidak ditangkap.

Menurut Mushar, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. – 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.