Sudah tiba masa PM buang kayu buruk, ganti kayu baru

0

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merombak barisan Kabinet ekoran prestasi kurang memuaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini, kata ahli veteran PAS, Datuk Seri Mustafa Ali.

Malah Mustafa berkata, selepas hampir setahun PH mengambil alih pentadbiran negara, beliau mendapati masih ada sesetengah menteri tidak cekap menjalankan tugas.

Walaupun beliau sedar kebanyakan menteri dalam kerajaan tidak mempunyai pengalaman tetapi mereka tidak boleh menjadikan itu sebagai alasan kerana mereka boleh mendapatkan nasihat daripada penjawat awam yang telah lama berkhidmat dalam kerajaan.

“Saya tidak boleh terima jika mereka (menteri) mendakwa disabotaj kerana pegawai kerajaan memegang etika untuk patuh pada kerajaan yang memerintah.

“Malah mereka sudah lama menjadi Ahli Parlimen dan sepatutnya tahu sistem kerajaan itu, dan soal ini tidak berbangkit.

“Setahun adalah masa yang baik untuk membuat pembaharuan dan ini merupakan masa yang tepat untuk Tun (Mahathir) ‘membuang kayu-kayu buruk dan gantikan dengan kayu baru’ yang lebih baik untuk membuat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator Hazwan Syafiq mengenai prestasi menteri Pakatan Harapan dalam sesi wawancara bertajuk ‘Apa kelebihan kerajaan Pakatan’ bersama Nothing To Hide, malam semalam.

Dalam pada itu, Mustafa berkata,walaupun bergelar kerajaan baharu, terdapat beberapa usaha positif yang dilakukan pentadbiran Dr Mahathir.

Antaranya beliau memuji beberapa usaha kerajaan PH untuk melakukan pembaharuan termasuk pemansuhan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), kesungguhan memerangi rasuah dan kempen antirokok.

Bagaimanapun katanya, kerajaan PH masih terbeban dengan kegagalan melaksanakan banyak janji lain termasuk memansuhkan tol dan hutang PTPTN. – NTHQiBord, 2 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.