KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Pakatan Harapan perlu bersyukur kerana kredibiliti Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menutup kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Veteran PAS, Datuk Seri Mustafa Ali berkata selain kegagalan tunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14, kalangan rakyat juga tidak berpuas hati dengan prestasi sesetengah menteri menggalas porfolio masing-masing.

Mustafa berkata, rating Tun Mahathir masih tinggi (46 peratus) berbanding rating kerajaan (31 peratus) mengikut kajian Merdeka Center baru-baru ini walaupun rating kedua-duanya menurun.

“Ini menunjukkan masih ada penghormatan daripada rakyat kepada Pakatan Harapan.

“Ertinya rakyat masih puas hati dengan kerajaan yang ada sekarang ini dan sampai masanya sebenarnya ini diperbetulkan,” katanya ketika menjawab soalan moderator Hazwan Syafiq mengenai prestasi menteri Pakatan Harapan dalam sesi wawancara bertajuk ‘Apa kelebihan kerajaan Pakatan’ bersama Nothing To Hide, malam semalam.

Sehubungan itu Mustafa menyarankan Tun Mahathir untuk merombak barisan Kabinet kerana masih ada sesetengah menteri tidak cekap menjalankan tugas selepas hampir setahun PH mengambil alih pentadbiran negara.

“Setahun adalah masa yang baik untuk membuat pembaharuan dan ini merupakan masa yang tepat untuk Tun (Mahathir) ‘membuang kayu-kayu buruk dan gantikan dengan kayu baru’ yang lebih baik untuk membuat kerja,” katanya. – NTHQiBord, 1 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.