KUALA LUMPUR : Kabinet tidak perlu dirombak namun pembubaran Parlimen dengan kadar segera harus dilakukan dalam memastikan pentadbiran negara diuruskan oleh kepimpinan yang lebih berwibawa dan efisyen, kata Datuk Mohd Irwan Rizal.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa itu berkata, cadangan untuk menukar barisan jemaah menteri tidak memberi sebarang kesan kerana pengganti mereka masih merupakan calon daripada Pakatan Harapan (PH).

“Cadangan untuk merombak semula jemaah Kabinet adalah tidak relevan kerana hasil daripada rombakan tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan kepada rakyat.

“Lantikan jemaah menteri sememangnya di bawah kuasa perdana menteri namun beliau perlu menerima cadangan nama pengganti daripada kepimpinan tertinggi setiap parti dalam PH.

“Sudah tentu perkara yang sama akan berulang jika rombakan Kabinet berlaku. Hasilnya sudah pasti akan tetap sama dengan apa yang berlaku sekarang,”  ketika dihubungi NTHQibord baru-baru ini.

Beliau mengulas saranan agar barisan Kabinet kerajaan dirombak yang disuarakan oleh veteran PAS, Datuk Seri Mustafa Ali dalam wawancara bersama Nothing To Hide bertajuk ‘Apa kelebihan kerajaan Pakatan?‘ baru-baru ini.

Dalam pada itu, Irwan turut melahirkan rasa kesal terhadap prestasi Kabinet yang dilihat hanya ‘syok sendiri’ dan seringkali memberi kenyataan yang tidak masuk akal.

Tambah beliau, rakyat semakin muak dengan sikap barisan Kabinet yang berulang kali menggunakan skrip yang sama menyalahkan kerajaan lama namun tidak menyedari mereka juga tidak sempurna.

Katanya lagi, sehingga kini menteri PH tidak menunjukkan sebarang pencapaian yang membanggakan untuk dinilai.

“Sudah hampir setahun berlalu, majoriti jemaah menteri sekarang tidak memberi fokus kepada isu kebajikan dan pembangunan rakyat. Ini jelas dilihat sewaktu persidangan Parlimen berlangsung.

“Hampir semua jawapan balas daripada menteri-menteri menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyalahkan kerajaan sebelumnya tanpa memberi sebarang keputusan penyelesaian jangka masa panjang dan tuntas.

“Bagi saya jangan buang masa dan wang rakyat. Kita sudah sedia maklum mereka hanya akan salahkan kerajaan lama dan tukar nama sahaja bagi setiap inisiatif terdahulu,” katanya. – NTHQiBord, 3 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.