Iklan tulisan Cina milik agensi kerajaan negeri dikritik

0

KUALA LUMPUR  –  Iklan agensi milik kerajaan negeri Perak menggunakan tulisan Cina yang tular di media sosial, mendapat kritikan keras daripada masyarakat tempatan.

Memetik laporan Utusan Online, Naib Ketua Pemuda UMNO Gopeng Al Yashir Yahaya berkata iklan pada gegantung itu dipercayai diletakkan di daerah pekan Chemor.

Tambahnya, penggunaan tulisan Cina pada iklan agensi milik kerajaan negeri adalah tidak wajar.

Jelas Al Yashir, perkara ini tidak mencerminkan kerajaan negeri sebagai kerajaan yang mendaulatkan bahasa Melayu.

“Isu seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana sudah termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan jelas dalam Akta 32 Seksyen 2.

“Akta berkenaan menetapkan segala penggunaan dengan maksud rasmi perlulah digunakan di dalam bahasa Melayu,” katanya.

Al Yashir turut menggesa pihak berkuasa tempatan untuk turut peka terhadap perkara tersebut kerana segala jenis iklan yang dipaparkan perlu selari dengan tatacara pengesahan bahasa Kebangsaan dalam iklan.

Katanya, iklan haruslah mematuhi akta dan undang-undang yang berkaitan seperti Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 yang terkandung dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurut beliau, akta tersebut dengan jelas menyatakan sesuatu iklan hendaklah dalam bahasa Melayu, sama ada dengan sendirinya atau bersama-sama bahasa lain. – 3 Mei 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.