KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menuntut semula sebidang tanah yang dipercayai dipindah milik kepada Sultan Johor, kata Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir mengakui pihaknya mendengar khabar angin tanah di Bukit Chagar itu diambil oleh pihak Istana Johor dan beliau masih belum mendapat laporan penuh berhubung perkara itu.

Namun beliau berkata, Putrajaya akan membayar supaya hak milik tanah yang terlibat dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS) itu kembali menjadi milik kerajaan persekutuan.

Jelasnya, kerajaan juga tidak mendapat sebarang maklumat tentang pembayaran tanah berkenaan selain belum memutuskan status projek itu sendiri.

“Jika dia (baginda) telah membayarnya, kita perlu membeli semula. Jika belum bayar, kita tidak perlu beli semula. Itu tanah kita (kerajaan).

“Kita memerlukan tanah itu bagi tujuan membina kemudahan yang diperlukan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Dr. Mahathir mengulas dakwaan sebidang tanah di Bukit Chagar yang sepatutnya milik Kerajaan Persekutuan telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor.

Perkara itu dibangkitkan selepas sebuah portal yang memetik sumber mendedahkan satu daripada lima plot tanah untuk projek RTS dipindahkan kepada Sultan Johor.

Dokumen yang dilihat sumber itu antara lain menyatakan perubahan hak milik tanah untuk plot seluas 4.5 hektar itu berlaku bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN). – NTHQiBORD, 3 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.