KUALA LUMPUR – Selepas sebulan setengah tragedi serangan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant di dua masjid di di Christchurch, New Zealand, angka kematiannya kini bertambah menjadi 51 orang.

Jumlah kematian akibat serangan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant di dua masjid di sini, 15 Mac lalu, kini mencecah 51 orang.

Angka itu meningkat susulan seorang warga Turki berusia 46 tahun yang cedera parah dan dirawat di hospital di sini, meninggal dunia, semalam.

“Malangnya kami kehilangan seorang warganegara yang cedera parah dalam serangan kejam di Christchurch, New Zealand,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Turki, Mevlut Cavusoglu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Christchurch, semalam, selepas dirawat di unit rawatan rapi sejak serangan itu.

“Saya turut bersimpati terhadap keluarga mangsa. Berita sedih ini akan dirasai di seluruh Turki serta New Zealand,” kata Ardern.

Abang mangsa berkata, adiknya telah dibawa ke ruang pembedahan semalam, tetapi tidak dapat diselamatkan.

“Dia menjalani pembedahan semalam, tetapi pendarahan tidak dapat dihentikan. Dia telah bertarung nyawa selama 50 hari,” katanya.

Ardern berkata, sembilan lagi yang ditembak dalam serangan itu masih dirawat di hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Tarrant, pengganas kulit putih kelahiran Australia, didakwa di mahkamah atas 50 tuduhan membunuh, dan 39 cubaan membunuh, dalam serangan di dua masjid – Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood – ketika solat Jumaat. – Agensi 3 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.