Pembayaran zakat fitrah bagi tahun 1440H/2019M di Perak ditetapkan pada tiga pilihan harga iaitu RM7, RM14, RM21.

KUALA LUMPUR  – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menetapkan pembayaran zakat fitrah bagi tahun 1440H/2019M untuk negeri Perak mengikut tiga pilihan harga iaitu RM7, RM14, RM21.

MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan memperakui pandangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Kali Ke-216 pada 16 Januari lalu bagi penetapan harga zakat fitrah tersebut.

“Harga minimum yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7.

“Bagaimanapun, adalah digalakkan pembayar fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar tatawwu’ iaitu RM14 bagi penggunaan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut dan herba poni sementara RM21 bagi yang menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya,” kata kenyataan itu memetik laporan Utusan Online.

Dalam pada itu, bagi memudahkan pembayaran zakat, sebanyak 1,897 orang amil fitrah telah dilantik oleh MAIPk di seluruh negeri ini.

Menurut kenyataan itu juga, amil-amil tersebut akan bertugas di semua masjid dan surau di negeri ini manakala kaunter sementara dan kaunter bergerak juga akan dibuka di beberapa tempat pilihan dan tumpuan orang ramai sepanjang bulan Ramadan ini. – 3 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.