KUALA LUMPUR – Dakwaan PH bahawa Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan beliau untuk memanipulasi syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi keuntungannya sendiri ternyata tidak benar berdasarkan keterangan yang diberikan oleh saksi ke-28 kes itu, Datuk Dr Kamariah Noruddin.

Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu mahkamah bahawa Najib bersetuju dengan saranan unitnya untuk memberikan geran RM20 juta kepada 1MDB bagi menubuhkan syarikat sumber strategik yang dinamakan SRC International Sdn Bhd.

Geran RM20 juta itu jauh lebih rendah berbanding jumlah RM3 bilion yang diminta oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Kamariah juga berkata bahawa surat permohonan itu ditandatangani Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan dialamatkan kepada Najib.

Kamariah, yang merupakan pengarah Seksyen Tenaga EPU pada 2010, mendedahkan bahawa Najib tidak membantah saranan unitnya, atau menolak keputusan tersebut.

Najib menerima permohonan rasmi bertarikh 24 Ogos 2010 daripada 1MDB untuk menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) iaitu SRC International bagi meneroka sektor sumber tenaga seperti arang batu, petroleum dan uranium.

1MDB memohon RM3 bilion untuk menubuhkan syarikat SPV itu dan permohonan itu dihantar kepada Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Walaupun Najib boleh menggunakan kedudukannya untuk meluluskan permohonan tersebut, tetapi beliau merujuk perkara itu kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal EPU, untuk mendapatkan keputusan.

EPU kemudiannya memberi memo balas bertarikh 12 Oktober 2010 kepada Najib dengan menyatakan beberapa saranan berhubung usul 1MDB.

Dalam saranan itu, EPU menolak permintaan 1MDB untuk mendapatkan geran RM3 bilion tetapi bersetuju dengan penubuhan SRC International yang sejajar dengan Dasar Tenaga Negara dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

EPU juga mencadangkan agar memberi geran RM20 juta kepada 1MDB dan perkara itu dipersetujui oleh Najib.

Bekas perdana menteri membalas saranan itu menerusi surat rasmi bertarikh 10 November 2010 selepas menerima memo tersebut.

Semasa pemeriksaan utama oleh pihak pembelaan, Kamariah 61, memberi keterangan bahawa EPU berfungsi secara bebas untuk menilai semua permohonan oleh jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga bersetuju bahawa surat yang dibalas oleh Najib bukan satu arahan, sebaliknya EPU diminta untuk meneliti dan memberi saranan berhubung perkara itu (permohonan 1MDB). – NTHQiBORD, 3 Mei 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.