KUALA LUMPUR – Bekas exco Johor, Mazlan Bujang berharap isu tanah di Bukit Chagar diharap dapat diselesaikan dengan cara baik sekali gus dapat menjimatkan duit rakyat.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri itu berkata beliau mengetahui perancangan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura di atas tanah seluas 4.5 hektar ketika memegang portfolio berkenaan.

“Isu tanah Bukit Chagar, ini projek federal (Kerajaan Pusat) bukan Kerajaan Negeri, ini antara kerajaan Malaysia dan Singapura untuk projek RTS. Masa saya jadi exco, ia di bawah penyeliaan saya.

“Biar Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir… diselesaikan cara yang baik dan kita harap kita juga dapat menjimatkan duit rakyat lah. Kita tak nak duit rakyat ini digunakan dengan benda yang tiada keperluan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mazlan berkata, perjanjian antara Malaysia dan Singapura sudah dimeterai kerajaan sebelum ini lagi iaitu sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak kemudian turut mengetahui tanah itu untuk kegunaan pembinaan stesen RTS.

Berkenaan status tanah berkenaan bukan milik kerajaan, Mazlan berkata perkara itu perlu dirujuk kepada menteri besar di bawah kerajaan sebelum ini atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.

“Apabila projek CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) berlangsung, tanah itu telah diserah kepada Kerajaan Federal, jadi, macam mana bertukar itu, saya wallahua’lam, saya belum jadi kerajaan lagi masa itu,” katanya.

Mazlan berkata, sama ada tanah milik mana-mana pihak di kawasan itu hendak diserahkan atau tidak, projek RTS berkenaan tetap akan dilaksanakan kerana ia melibatkan perjanjian di antara kedua-dua negara, malah tiada lagi tanah yang sesuai selain kawasan Bukit Chagar itu yang boleh dijadikan stesen utama RTS di Johor.

Hari ini, Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Jaba Mohd Noah berkata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyerahkan tanah milik baginda di Bukit Chagar kepada kerajaan tanpa sebarang kos sekiranya tanah itu terlibat untuk projek RTS.

Menurut Jaba, Sultan Johor berasa kecewa atas satu berita yang mengaitkan isu peningkatan kos projek RTS dengan sebidang tanah milik baginda di Bukit Chagar dan baginda tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik baginda yang akan terlibat untuk projek RTS itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata Putrajaya akan menuntut kembali tanahnya di Bukit Chagar, jika benar ia sudah ditukar hak milik kepada Sultan Johor tanpa melalui proses yang betul.

Perdana Menteri berkata, jika tanah berkenaan telah dibeli oleh mana-mana pihak, kerajaan perlu membelinya semula kerana milik Kerajaan Persekutuan. – 4 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.