KUALA LUMPUR: Program yang dianjurkan oleh calon Bebas, Chia Siew Yung yang bertanding pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan tidak mendapat sambutan.

Menerusi program yang diberi nama`Deklarasi Sandakan Menentang Politik Wang’, Siew Yung turut menjemput empat calon lain untuk sama-sama menandatangani deklarasi berkenaan.

Tanda tangan itu simbolik kepada sokongan untuk menghentikan politik wang yang dijadual diadakan di sebuah hotel, esok.

Memetik laporan Berita Harian, jemputan turut dihantar kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pergerakan kebebasan awam dan aktivis berkaitan.

Calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin, meolak untuk menghadiri jemputan itu malah menyifatkan program itu sebagai publisiti murahan daripada calon Bebas untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Beliau yang juga Naib Presiden PBS itu berkata tiada masa untuk menghadiri program itu kerana jadualnya penuh dengan aktiviti kempen, lebih-lebih lagi hari pengundian pada 11 Mei ini hanya tinggal seminggu lagi.

Manakala seorang lagi calon Bebas, Sulaiman Abdul Samat turut menyatakan tidak akan hadir untuk menandatangani deklarasi itu mahupun mewujudkan apa-apa kerjasama dengan calon lain.

“Saya tidak menerima apa-apa jemputan daripada Siew Yung. Saya hanya mengetahui program itu selepas dihubungi wartawan.

“Bagaimanapun, saya tidak akan pergi kerana jika berbuat demikian, seolah-olah saya menyokong beliau dan kepemimpinannya. Itu bukan cara saya. Ketika ini, saya tidak membuat apa-apa kerjasama dan saya juga tidak akan tunduk kepada pihak lawan,” katanya. – 4 April 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.