SEKURANG-KURANGNYA empat penduduk Palestin terbunuh manakala 51 lagi cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel pada Jumaat di timur Semenanjung Gaza berhampiran sempadan Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Ashraf al-Qedra, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, berkata dua penunjuk perasaan telah ditembak mati manakala 51 lagi cedera selepas terkena bedilan tentera Israel semasa tunjuk perasaan mingguan anti-Israel di timur Semenanjung Gaza.

Al-Qedra berkata dua lagi penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh pesawat pejuang Israel di pusat bandar Semenanjung Gaza yang terletak di timur kem pelarian al-Mughazi berhampiran sempadan Israel.

Pertempuran pada Jumaat meletus pada waktu petang semasa perhimpunan dan tunjuk perasaan mingguan berlangsung, yang dikenali sebagai Perarakan Pulang Besar-Besaran dan Memecah Kepungan Israel, yang telah diadakan sejak 30 Mac tahun lepas.

Suruhanjaya Tertinggi Perarakan Pulang Besar-Besaran dan Memecah Kepungan Israel telah menyeru penduduk Palestin menyertai tunjuk perasaan mingguan bagi membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kedaulatan kepada Israel terhadap wilayah Syria, Golan Heights.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata sejak tunjuk perasaan meletus tahun lepas, tentera Israel telah membunuh 275 penunjuk perasaan dan mencederakan 17,000 lagi, yang secara rasmi dirujuk ke beberapa hospital di Semenanjung Gaza. – AGENSI, 4 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.