KUALA LUMPUR – Kuota jemaah haji Malaysia kekal 30,200 orang dan permohonan kuota tambahan sedang diusahakan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Bagaimananpun beliau berkata, ia tertakluk kepada budi bicara pihak kerajaan Arab Saudi untuk meluluskan kuota tambahan itu.

“Pihak Arab Saudi tidak mempunyai tarikh spesifik untuk memberikan jawapan berhubung permohonan kuota tambahan itu.

“Menurut rekod TH, mereka pernah menerima jawapan berhubung kuota tambahan daripada pihak Arab Saudi semasa bulan Ramadan, Syawal, Zulkaedah malah adakala jawapan diterima ketika bulan Zulhijjah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung laporan Utusan Malaysia hari ini bahawa umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

“Kenyataan yang dibuat itu adalah satu fitnah berniat jahat untuk menakutkan umat Islam dan ia tidak benar sama sekali, ini kerana kuota haji yang diberi adalah kekal seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan akhbar berkenaan untuk merujuk kepada fakta terlebih dahulu dan dakwaan tidak tepat yang dilemparkan kepada pihak berkuasa terutama TH yang diberi kuasa menguruskan jemaah haji akan memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Islam.

Sementara itu, TH turut menyangkal dakwaan Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan dan meminta agar individu berkaitan berhenti daripada melakukan komen sensasi dan analisis tidak tepat yang berbaur politik yang boleh mengelirukan rakyat.

“Untuk pengetahuan umum, kuota rasmi yang diberikan pihak Arab Saudi bagi tahun ini ialah 30,200 orang. Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

“Sehingga kini, pihak TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan Bernama.

Berdasarkan rekod 10 tahun kebelakang, ada empat tahun iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016, di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan, jelasnya. – 4 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.