LAPORAN yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu menunjukkan krisis bekalan air bersih buat penduduk Palestin semakin kritikal, terutamanya di Genting Gaza.

Lapor Gulf News, laporan WHO menunjukkan sebanyak 97 peratus bekalan air yang dipam dari bawah tanah di Gaza bukan sahaja merosot pada kadar yang cepat malah gagal mencapai tahap piawaian minimum air bersih.

Keadaan itu secara tidak langsung meletakkan masa depan penduduk Palestin semakin kabur dan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini meramalkan bahawa Gaza mungkin menjadi kawasan tidak berpenghuni menjelang 2020.

Tebing Barat yang dijajah Israel juga mengalami masalah sama apabila penduduknya tidak dibenarkan menggunakan sumber air termasuk tidak boleh menggali perigi baharu selain dilarang mengambil bekalan air dari Sungai Jordan.

Lebih memburukkan keadaan, mereka juga dipaksa pula untuk membeli bekalan air dari Israel dan keadaan ini secara jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Malah, syarikat air Israel, Mekorot dilapor menyalahguna keistimewaan mereka dengan memberi ganjaran dan menghukum penduduk Palestin yang dirasakan bersesuaian,

Pada 2016, seluruh komuniti Palestin di Tebing Barat terputus bekalan air selepas pihak berkuasa Palestin (PA) gagal menjelaskan bayaran untuk membeli semula air Palestin.

Penduduk Palestin di Tebing Barat menggunakan kira-kira 72 liter air bagi setiap orang sehari jika dibandingkan 240 hingga 300 liter bagi penduduk Israel.

Menurut pertubuhan kebajikan Britain, Oxfam, kurang daripada empat peratus air mentah di Gaza boleh diminum dan laut di sekitarnya tercemar oleh kumbahan dan pencemaran air dikaitkan dengan peningkatan dramatik masalah buah pinggang di Semenanjung Gaza.

Malah menurut Perbadanan RAND yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mendapati, satu perempat daripada semua penyakit di Genting Gaza berpunca daripada air.

Hospital-hospital Gaza cuba melawan wabak yang besar itu di sebalik faktor kekurangan ubat, bekalan elektrik kerap terganggu dan kekurangan air bersih.

“Air sering tidak terdapat di Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza dan jika ada sekali pun, ia masih tidak cukup bagi doktor dan jururawat membersihkan tangan mereka untuk melakukan pembedahan kerana kualiti air,” lapor RAND.

Selain itu, Israel juga didakwa menggunakan bekalan air secara berlebihan dengan menafikan hak penduduk Palestin dan pendekatan itu diambil bertujuan memberi tekanan serta menindas penduduk. – AGENSI, 4 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.