KUALA LUMPUR – Tommy Thomas tidak layak menjadi peguam negara kerana beliau membiarkan golongan diraja dihina, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Tommy dipecat kerana tidak mempertahankan Melayu dan raja-raja ketika menyertai satu forum di Universiti Malaya pada minggu lalu.

“Baru-baru ini, terdapat satu dakwaan bahawa seorang raja Melayu digelar perompak dalam satu forum yang dihadiri Tommy Thomas.

“Dia (Tommy) tidak layak menjadi peguam negara kerana membenarkan raja-raja dihina,” kata Asyraf ketika berucap pada Himpunan Gerakan Ummah (Ummah) di sini hari ini.

Minggu lalu, Tommy menyertai satu forum di Universiti Malaya untuk membincangkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan menarik diri daripada Statut Rom selepas menerima tekanan daripada raja-raja dan orang Melayu.

Sementara itu, Asyraf memberi amaran kepada kerajaan bahawa himpunan hari ini merupakan satu permulaan untuk himpunan yang lebih besar.

“Kita akan adakan himpunan yang lebih besar bagi mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu,” katanya. – NTHQiBORD, 4 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.