KUALA LUMPUR – Umat Islam tidak akan berdiam diri jika ada pihak yang cuba mengusik kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Islam merupakan antara tiang seri dalam pembentukan negara dan perlu dipertahankan agar keamanan, keadilan dan ketenteraman dapat dikekalkan.

Namun katanya, sebarang gangguan terhadap tiang seri itu akan menyebabkan negara terdedah kepada suasana yang tidak harmoni.

“PAS bersama rakyat, bersama parti politik pembangkang memberi amaran supaya jangan ada pihak cuba menggugat tiang seri yang membela negara kita.

“Kita berhimpun pada petang ini (semalam) sebagai satu amaran dan peringatan bahawa umat Islam tidak berdiam diri dengan agenda yang mereka sedang gerakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam anjuran Gerakan Pembela Ummah di sini semalam.

Terdahulu, Tuan Ibrahim mempersoalkan penafian kerajaan Pakatan Harapan bahawa kedudukan Islam di negara ini tidak terancam.

“Kalau Islam tidak terancam, tidak mungkin ribuan yang berkumpul pada petang ini.

“Kita berhimpun kerana menyedari ancaman yang sedang berlaku ke atas agama Islam di negara kita,” katanya.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata himpunan tersebut diadakan sebagai satu kesedaran kepada umat Islam tentang agenda golongan liberalisme yang cuba menggugat institusi agama dengan menyebarkan idea yang sangat asing di negara ini.

“Hentikan segera agenda LGBT, hentikan gerakan liberalisme yang cuba menjadikan agama sebagai perkara peribadi, bukan lagi agenda bagi negara kita.

“Islam agama rasmi Persekutuan yang mesti dohormati, di waktu yang sama, jangan ada pihak cuba mengganggu gugat, mengancam apa yang sedang dibina oleh rakyat di negara kita selama berpuluh tahun,” katanya. – 5 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.