BERIBU-ribu umat Islam berpusu-pusu ke bandar ini semalam untuk menghadiri majlis pembukaan sebuah masjid bersejarah yang musnah ketika awal perang Bosnia.

Masjid Aladza yang dibina pada kurun ke-16 adalah satu-satunya struktur ulung paling terkenal ketika zaman Uthmaniyyah di Balkan sebelum dimusnahkan dalam perang 1992-1995 oleh tentera Serbia Bosnia.

Bandar timur di sini terkenal kerana pembunuhan kejam beramai-ramai penduduk etnik Islam berlaku ketika konflik terbabit.

Sebelum perang, Muslim Bosnia atau Bosniaks, terdiri daripada 51 peratus daripada sejumlah 41,000 penduduk sementara bakinya Serbia. Pada hari ini, daripada sejumlah 18,000 penduduk, hanya seribu lebih Bosniaks kekal.

“Segala-galanya yang berkaitan Islam, peradaban atau budayanya dimusnahkan. Barangan suci yang dibuang ke dalam tong sampah dikutip dan dibina semula menjadi masjid bagi menandakan era permulaan baharu di satu bahagian negara ini,” kata penganut Islam Sulejman Dzamalija, 65.

Terletak di lembah sungai Drina, Aladza, juga dikenali sebagai Masjid Warna Warni adalah satu daripada 17 masjid Uthmaniyyah di sini.

Lima daripadanya musnah ketika Perang Dunia Kedua, sementara 12 lagi dimusnahkan ketika perang 1990-an.

Ketika perang, pihak berkuasa Serbia Bosnia menamakan semula bandar itu sebagai Srbinje tetapi pada 2004, mahkamah tinggi Bosnia mengarahkan nama asal Foca dikekalkan.

Speaker dewan Foca, Muhamed Jusic berkata, masjid yang dibina semula itu menawarkan harapan supaya penduduk sebelum perang kembali dan ‘bermulanya era baharu di Foca.’

Selama 24 tahun sejak awal perang antara Muslim Bosnia, Serbia Ortodoks dan Croatia Katolik, Bosnia kekal berpecah belah di antara etniknya dengan kumpulan lawan menyekat penyatuan dan pembaharuan diperlukan bagi menyertai Kesatuan Eropah (EU).

“Pada hari ini kami menyaksikan harapan bahawa rakyat sekali lagi menemui perdamaian di tempat ini,” kata ketua komuniti Islam Bosnia, Husein Kavazovic.

Kerja pembinaan semula masjid bermula pada 2012 dan dibiayai kerajaan Turki dan Amerika Syarikat (AS).

“Aladza seharusnya berfungsi sebagai monumen ketahanan, penyatuan dan kepelbagaian,” kata Duta AS, Eric Nelson.

Menteri Kebudayaan Turki, Mehmet Nuri Ersoy berkata, pembukaan semula masjid itu menunjukkan ‘perkauman dan kebencian boleh memusnahkan harta benda namun tidak boleh memusnahkan budaya yang hidup berabad lamanya. -Reuters, 5 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.