Permintaan emas global semakin meningkat

0

KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap emas dunia bertambah kepada 1,053.3 tan pada suku pertama tahun 2019, meningkat tujuh peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan Trend Permintaan Emas terkini oleh World Gold Council.

Peningkatan berbanding tahun sebelumnya ini sebahagian besarnya adalah disebabkan pertumbuhan berterusan dalam pembelian oleh bank pusat selain pertumbuhan dalam dana daga­ngan bursa (ETF) yang disokong oleh emas.

Bank-bank pusat global membeli 145.5 tan emas pada suku pertama, meningkat 68 peratus pada tempoh yang sama 2018 dan menonjolkan permulaan paling kukuh sejak tahun 2013, katanya.

“Kepelbagaian dan keinginan terhadap aset-aset yang selamat dan mudah cair sekali lagi menjadi pendorong utama pembelian. Dalam tempoh empat suku tahun berturut-turut, pembelian emas mencapai nilai tertinggi yang mencatat rekod sebanyak 715.7 tan.

“Permintaan terhadap barang kemas pada suku pertama meningkat satu peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, pada nilai 530.3 tan, yang dirangsang oleh India,’’ kata World Gold Council seperti dilaporkan Utusan Online baru-baru ini.

Tambah kenyataan itu, harga emas rupee India yang lebih rendah pada penghujung Februa­ri dan awal Mac bertepatan dengan musim perkahwinan, meningkatkan permintaan barangan kemas di India kepada 125.4 tan, peningkatan seba­nyak lima peratus pada tempoh yang sama tahun lalu dan suku pertama tertinggi sejak 2015.

Bagaimanapun, pelaburan bar dan syiling emas menurun satu peratus kepada 257.8 tan. Hal ini semata-mata lantaran penurunan permintaan terhadap bar emas, memandangkan pembelian syiling emas rasmi mening­kat 12 peratus kepada 56.1 tan.

China dan Jepun merupakan penyumbang utama kepada penurunan berkenaan. Di Jepun, pelaburan bersih bertukar negatif terhadap pengambilan keuntungan susulan lonjakan harga tempatan pada Februari.

Emas yang digunakan dalam aplikasi seperti barangan elektronik, produk tanpa wayar dan lampu LED jatuh tiga peratus kepada 79.3 tan. Krisis perdagangan, jualan lembap bara­ngan elektronik pengguna dan ha­la­ngan ekonomi glo­bal kini melanda sektor teknologi. – 5 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.