KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menggugurkan menteri yang tidak menunjukkan prestasi baik dengan segera demi kebaikan semua pihak terutamanya rakyat yang semakin terbeban dengan pelbagai isu yang menyusahkan kehidupan harian mereka, kata Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Timbalan Presiden MCA itu berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tidak dapat berfungsi dengan baik selepas hampir setahun memerintah disebabkan ketidaksefahaman antara menteri-menteri PH.

Katanya, masalah itu timbul apabila keghairahan segelintir menteri membuat pengumuman u-turn disebabkan tiada kaji selidik yang teliti dan kekurangan atau tiada ‘engagement’ dengan rakyat atau pemegang taruh sebelum keputusan dibuat, sekali gus menyusahkan pihak yang terlibat.

Selain itu katanya, kegagalan segelintir menteri untuk melaksanakan tugas mereka juga membebankan rakyat terutamanya apabila melibatkan isu ekonomi kerana mereka kurang turun padang dan kerja dalam keselesaan di pejabat kementerian atau kerap membuat lawatan luar negara sambil bercuti.

“Mereka (menteri) perlu ketepikan rasa ego dan mengakui kegagalan melaksanakan tugas masing-masing lebih-lebih lagi apabila persepsi rakyat terhadap mereka semakin teruk.

“Inilah sebabnya perdana menteri perlu melaksanakan rombakan Kabinet supaya Menteri merasa tekanan dan perlu  meletakkan petunjuk prestasi utama  (KPI) terhadap menteri demi menjaga kepentingan rakyat.

Timbalan Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

“Kalau tidak, menteri yang lalai dan lesu akan menunggu habis penggal sehingga menyebabkan banyak kerosakan. Itu yang akan berlaku apabila berlalunya pemerintahan ‘menteri sepenggal’,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord hari ini.

Beliau mengulas saranan veteran PAS Datuk Seri Mustafa Ali baru-baru ini supaya Tun Mahathir merombak semula barisan Kabinet susulan kegagalan PH menunaikan janji manisfesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mengulas mengenai prestasi merudum kerajaan PH mengikut kajian Merdeka Center baru-baru ini, Lian Ker berkata, rakyat memberi petunjuk jelas bahawa pentadbiran yang sedia ada tidak arif, tidak cekap dan gagal menunaikan PRU selain gagal menyelesaikan isu terdesak yang mempunyai kesan dan beban pada rakyat.

Katanya kajian itu adalah petunjuk dan amaran kepada kerajaan PH agar melaksanakan pembaharuan supaya segala pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Jangan bagi pelbagai alasan kerana rakyat sudah banyak terbeban.

“Kerajaan perlu rombak semula kerajaan agar negara tidak rosak akibat keegoan kerajaan PH yang tidak mahu mengaku silap atau membuat pembetulan,” katanya. – NTHQiBord, 3 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.