KUALA LUMPUR – Malaysia dan Iran dipercayai menjalinkan kerjasama untuk membantu Teheran mengelakkan sekatan ekonomi, lapor sebuah akhbar Barat.

Portal Haaretz memetik sumber perisikan Barat mendakwa, kapal tangki minyak kedua-dua negara yang dikesan berlayar dalam jumlah yang luar biasa merupakan bukti kerjasama itu.

Sumber risikan itu percaya Iran merancang untuk menyalurkan hasil jualan minyak dan gas asli menerusi Malaysia.

Bulan lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan untuk meningkatkan sekatan ke atas Iran dan beliau tidak akan melanjutkan tempoh pengecualian yang diberikan kepada China, India, Itali, Turki dan Korea Selatan mengimport minyak dari Iran.

Pengecualian itu tamat pada 2 Mei lalu dan langkah itu dijangka memberi kesan buruk terhadap ekonomi Iran.

Sumber perisikan Barat mendakwa Malaysia akan cuba membantu Iran mengeksport minyaknya bermula bulan ini selepas sekatan sepenuhnya ke atas eksport minyak Teheran berkuatkuasa sepenuhnya.

Malaysia mempunyai populasi lebih 30 juta penduduk yang majoritinya umat Islam.

Pada April 2018, seorang jurutera Palestin Fadi al-Batsh yang terlibat dalam pembangunan senjata Hamas, dibunuh di Kuala Lumpur dan insiden itu didalangi oleh agensi perisikan Israel, Mossad.

Kes itu membayangkan hubungan yang wujud antara Iran, Hamas dan Malaysia memandangkan kumpulan pejuang Palestin itu menerima sokongan daripada Teheran.

Akhbar Haaretz mendakwa penglibatan Malaysia dalam membantu program nuklear Iran sudah lama berlaku iaitu sejak 2004.

Akhbar itu berkata komponen program tersebut diseludup dari Malaysia ke Libya dan Iran menerusi rangkaian pakar fizik nuklear Pakistan, Abdul Qadeer Khan yang digelar sebagai bapa bom nuklear Pakistan.

Pada November 2018, ahli perniagaan Britain Alexander George dipenjara oleh mahkamah negara itu kerana menyeludup komponen jet pejuang dari AS ke Iran dengan menggunakan syarikat di Malaysia dan Dubai. – 6 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.