1. Sejurus setelah menang di Port Dickson, pertentangan Mahathir-Anwar semakin terserlah. Walaupun kedua-duanya menafikan dan berlagak keadaan seperti biasa, tindak tanduk masing-masing menggambarkan sebaliknya. Mahathir cuba menjadikan PPBM sebagai parti yang kuat dalam Pakatan Harapan. Sasaran utama Mahathir adalah Ahli Parlimen UMNO. Terkini PPBM memiliki 22 kerusi Parlimen dan Mahathir mendapat sokongan rasmi UMNO dan PAS bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri ketika ini.

2. Anwar pula masih mencongak bilangan yang mencukupi bagi menggerakkan agendanya. Anwar dikatakan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen DAP dan sebahagian dari PKR jika mahu ‘melanggar’ Mahathir. Jumlah ini masih belum cukup dan Anwar tahu beliau akan kecundang jika masih mahu melakukannya. Anwar umpama sang dubuk, menanti kesempatan terbaik mahu mencuri makanan hasil pemburuan sang singa. Kini harapan yang dikatakan semakin menipis bagi Anwar untuk melawan Mahathir, kembali terbuka.

3. Terkini, Tan Sri Muhyiddin Yasin secara terbuka muncul dengan menambah bilangan ‘musuh politik’ Mahathir di dalam negara. Ianya mengulangi era lama Mahathir ketika di dalam UMNO yang sering ‘bergaduh’ dengan timbalannya. Cuma kali ini Mahathir bergaduh dengan Presiden parti beliau sendiri. Rombakan Exco Johor yang dibuat serta melanggar arahan Mahathir nyata amat mengecewakan beliau. Muhyiddin yang diharap menyokong Mahathir mengekalkan barisan Exco Johor, tidak berbuat demikian. Sebaliknya Muhyiddin menggunakan kesempatan ini mengukuhkan kedudukan beliau di Johor dengan mencadangkan nama dua orang kuat beliau sebagai anggota EXCO yang baru.

4. Hubungan yang sudah terluka ini agak susah untuk sembuh. Walaupun sembuh, parutnya tetap ada. Mengenali Mahathir, agak payah untuk Muhyiddin membetulkan keadaan. Hasil dari mesyuarat tersebut, dikatakan Mahathir mendapat sokongan padu Majlis Tertinggi PPBM. Hukuman pertama buat Muhyiddin telah dilaksanakan. Muhyiddin dibuang dari jawatan Pengerusi PPBM Johor. Calon yang disingkirkan sebagai Exco Johor telah menggantikan tempat Muhyiddin sebagai Pengerusi PPBM Johor. Ia segera diumum Mahathir walaupun akan berkuat kuasa hujung bulan Mei nanti. Muhyiddin juga dimalukan dengan pengumuman awal bakal Ketua Polis Negara oleh Mahathir walaupun ia adalah bidang kuasa Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri.

5. Bagi menjaga air muka, pilihan yang ada bagi Muhyiddin adalah terus kekal dalam PPBM sambil menyusun kekuatan dari dalam PPBM. Seperti Anwar, Muhyiddin mungkin menunggu masa yang sesuai untuk melawan Mahathir. Rintangan yang bakal dihadapi Muhyiddin mungkin sedikit berbeza dengan Anwar. Ini kerana Muhyiddin menganggotai parti yang sama dengan Mahathir. Segala urusan parti adalah di bawah Pengerusi PPBM walaupun Muhyiddin adalah Presiden PPBM. Pergerakan Muhyiddin agak terbatas namun peluangnya mungkin lebih baik kerana berpeluang berbuat sesuatu semasa pemilihan PPBM nanti.

6. Kini Mahathir dilihat akan berhadapan dengan lawan politik dari pasukannya sendiri iaitu Anwar dan Muhyiddin. Tidak dapat dipastikan sejauh manakah kerjasama Anwar-Muhyiddin bagi menjatuhkan Mahathir. Mungkin ada, mungkin juga tiada. Cuma sejarah pernah membuktikan Anwar dan Muhyiddin pernah bergabung dalam ‘Team Wawasan’ semasa pemilihan di dalam UMNO dulu. Untuk rekod, seorang lagi personaliti politik dalam ‘Team Wawasan’ yang kini menjadi musuh utama Mahathir ialah Datuk Seri Najib.

7. Dalam usia 94 tahun, adakah Mahathir masih mampu bertahan untuk memimpin? Dalam masa yang sama juga, mampukah Mahathir bertahan menghadapi musuh politik yang ramai dalam satu masa? Jangan lupa Mahathir adalah Perdana Menteri ketika ini dan ini adalah ‘advantage‘ yang ada pada beliau dalam menghadapi lawan-lawan politik beliau.

Bersambung ke BAHAGIAN 3…

ANUAR SHAARI,
Penganalisis Politik.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBORD*

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.