1. Sebagai Perdana Menteri, Mahathir mungkin boleh memerintah secara ‘diktator’ seperti beliau menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu (kenyataan ini hanya mengulangi dakwaan Lim Kit Siang sekian lama). Mahathir dikatakan menyalahguna agensi-agensi kerajaan bagi mengukuhkan kuasanya. Malahan Anwar juga pernah menuduh Mahathir menggunakan badan kehakiman, SPRM dan PDRM ketika beliau berhadapan tuduhan liwat dahulu. Mahathir menafikan dan akhirnya Anwar didapati bersalah oleh mahkamah.

2. Jika benar seperti yang pernah dikatakan oleh Anwar dahulu, apakah kali ini Mahathir akan memastikan Ketua Hakim Negara dipilih dari kalangan orang pilihannya? Begitu juga dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Adakah Mahathir melantik orang kepercayaanya bagi memudahkan segala perancangan beliau? Anwar juga banyak kali mendakwa Mahathir dan PDRM terlibat dalam konspirasi menjatuhkan beliau dahulu. Jika benar begitu, adakah Mahathir akan melantik orang kepercayaan beliau sebagai Ketua Polis Negara bagi memudahkan segala urusan Mahathir bagi menghadapi lawan politiknya? Apakah Mahathir sekarang masih sama seperti Mahathir yang dahulu?

3. Sebagai Pengerusi PPBM yang mendapat sokongan majoriti dari Majlis Tertinggi PPBM, banyak yang Mahathir boleh lakukan terhadap Muhyiddin. Mahathir pernah memanggil mesyuarat khas MT UMNO dan memecat Anwar semasa dalam UMNO. Tidak mustahil beliau mengulanginya terhadap Muhyiddin di dalam PPBM. Mahathir juga pernah menggunakan Muhyiddin untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tidak mustahil Mahathir akan menggunakan Mazlan Bujang, Pengerusi PPBM Johor yang baru dilantik untuk menjatuhkan Muhyiddin di Johor dan Presiden PPBM.

4. Dalam menghadapi serangan dalaman dari Anwar, Muhyiddin dan DAP, mampukah Mahathir bertahan dan berapa lama? Mengenali Mahathir, jika beliau kurang mampu untuk bertahan, beliau akan menukar ‘padang permainan’, sekaligus menjadikan permainan tersebut memberi kelebihan kepada beliau. Mungkin kerana itu Mahathir begitu teruja menerima keahlian Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyeberang ke PPBM. Mahathir sanggup ‘u-turn’ dalam soal ini serta langsung tidak mempedulikan bantahan-bantahan dari rakan sekutu Pakatan Harapan.

5. Mahathir juga dilihat sedang melemahkan PKR dari dalam dengan memberi peranan yang besar kepada Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Sewaktu Wan Azizah masih Presiden PKR, Azizah kelihatan seperti melukut di tepi gantang. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. Sekarangpun mungkin begitu juga. Apabila Anwar menjadi Presiden PKR dan Ahli Parlimen, keadaan kekal begitu juga. Anwar hanya hebat dengan gelaran ‘bakal’ Perdana Menteri sahaja. Tidak diberi peranan langsung dalam kabinet Mahathir.

6. Selepas ini mungkin kita boleh menyaksikan kedudukan Muhyiddin pula akan dilemahkan sedikit demi sedikit. Jika tujuan Mahathir memanggil mesyuarat tergempar selepas pengumuman barisan Exco Johor bagi mendapatkan sokongan, beliau telah berjaya melakukannya. Yang lebih penting, Mahathir berjaya melakukannya di hadapan Muhyiddin! Namun Muhyiddin dilihat tidak akan berdiam diri. Beliau boleh bertindakbalas dengan menjadikan Johor sebagai pangkalan hadapan untuk menyerang Mahathir. Ketua-ketua Bahagian PPBM Johor adalah taruhan terbaik Muhyiddin melemahkan Mahathir di Johor.

7. Jika benar Mahathir telah menguasai kerajaan, menguasai PPBM, berjaya melemahkan PKR dan sedang bermain tarik tali dengan DAP, apakah ‘political game‘ yang seterusnya? Mampukah Mahathir terus bertahan dan menghabiskan penggal sebagai PM ke-7? Atas kertas, beliau punya kelebihan sebagai Perdana Menteri yang berkuasa. Beliau punya banyak pilihan mencorakkan politik Malaysia.

8. Namun persoalan yang lebih menarik untuk kita nantikan, jika Mahathir dapat bertahan, apakah Pakatan Harapan juga akan bertahan? Dengan kemelut dalaman mereka yang semakin meruncing, sama-sama kita nantikan apakah episod lanjut dari drama ini…

ANUAR SHAARI,
Penganalisis Politik.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBORD*

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.