SELAIN merunsingkan rakyat dengan kekerapan membuat keputusan U-turn, perkara lain yang menambah lagi kekusutan golongan marhaen adalah kepincangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menyelesaikan isu dan permasalahan.

Bukan sahaja acapkali membuat keputusan yang tidak konsisten, malah berlaku juga percanggahan dalam kalangan jemaah menteri sendiri dan kalangan pemimpin PH itu sendiri.

Sebagai contoh isu Statut Rom. Pada 4 Mac lalu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan bahawa Malaysia sudah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi terutamanya dalam kalangan orang Melayu yang membantah tindakan kerajaan DAP-PH meratifikasi perjanjian antarabangsa itu.

Ekoran desakan demi desakan, akhirnya pada 5 April lalu, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad terpaksa mengumumkan penarikan Malaysia dari perjanjian itu.

Di sini rakyat dapat melihat kecelaruan dalam pimpinan kerajaan DAP-PH. Sejurus selepas pengumuman Tun Mahathir, beberapa pemimpin Pakatan termasuk menteri,’berpusu-pusu’ untuk menjadi hero dalam isu tersebut.

Antaranya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan keputusan menarik diri dari Statut Rome bukan kehendak kerajaan.

Lebih kasar, Ahli Parlimen Batu Kawan dari DAP, Kasthuriraani Patto melalui akaun Twitternya menyifatkan mereka yang menolak Statut Rom sebagai ‘Bodoh, Bangang dan Selfish’.

Itu belum lagi mengambil kira siri forum yang disertai Peguam Negara, Tommy Thomas yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu menjayakan ratifikasi statut itu.

Terbaharu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim dalam satu forum sepentas dengan Tommy, menyuarakan harapan agar usaha menjadi sebahagian Statut Rome dapat direalisasikan.

Namun berbeza pula dengan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan eputusan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom ICC adalah satu langkah bijak.

Ini menimbulkan persoalan apakah pemimpin kerajaan DAP-PH ini benar-benar faham akan tugas masing-masing dan senada dalam usaha memajukan negara.

Mengulas lanjut kepincangan mengenai isu Statut Rom, Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil berkata rakyat masih tertanya-tanya tentang status Malaysia dalam perjanjian antarabangsa itu.

“Adalah menjadi kesalahan undang-undang juga apabila kita tandatangan tanpa meminda perlembagaan sedia ada. Ini menunjukkan kerajaan sekarang membelakangkan perlembagaan, undang-undang, Parlimen dan raja-raja.

“Saya rasa Tun M sendiri tidak faham apa proses untuk keluar dari Statut Rom,” katanya dalam program temu bual bertajuk, ‘Statut Rom: Dipolitikan atau keperluan?’ bersama Nothing To Hide baru-baru ini.

Tindakan kerajaan ini ternyata dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa menyediakan perancangan terperinci.

Percanggahan kenyataan dalam kalangan menteri dan ahli Parlimen menunjukkan tidak ada perbincangan terperinci untuk menetapkan pendirian sebenar Malaysia dalam isu Statut Rom ini.

Kita khuatir sikap kerajaan ini akhirnya memberi kesan negatif kepada negara, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Adalah lebih baiknya jika mereka memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan menangani isu yang lebih penting seperti kos sara hidup rakyat berbanding sibuk untuk meratifikai statut ciptaan Barat itu.

Hazwan Syafiq
Moderator

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandanganNTHQiBORD*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.