KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pulau Pinang dicurigai tidak telus dalam membahasakan berkenaan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), kata Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang.

Mohd Farhan Yusri menjelaskan bahawa perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) juga ternyata tidak menjelaskan secara terperinci berkenaan projek ini.

“Begitu juga perbahasan dalam kalangan ADUN pihak kerajaan sendiri di mana turut menampakkan banyaknya kekaburan dan kekeliruan berkaitan PTMP.

“Jika mereka selaku pihak bersama kerajaan pun berkeadaan demikian, maka tidak pelik rakyat umumnya lebih merasa was-was dan sangsi.

“Kerajaan dicurigai tidak ‘telus’, bahkan pula telah menunjukkan tindakan serta menghala perancangan yang tembus,” katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Katanya lagi, pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dibawah pentadbiran Chow Kon Yeow ini jelas meminggirkan keadaan rakyat negeri itu yang semakin tersisih dan bakal terusir dari tempat asal mereka.

“Rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan, kini telah tersisih dan bakal terusir keluar dari negeri ini atas pembangunan mewah sedang dipacu.

“Kerajaan ternyata begitu ghairah dan haloba untuk menjadikan Pulau Pinang seperti Hong Kong dan Singapura.

“Walhal, tidak mempunyai kemampuan sendiri tetapi dipercayai begitu mengharap dan menagih bantuan dari Kerajaan Persekutuan dan pemaju,” tegas beliau. – 6 Mei 2019.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.